Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menyatakan janji tersebut ketika melawat kesemua mangsa yang kini ditempatkan sementara di Dewan Serbaguna Likas sejak semalam.

Mohd. Shafie berkata, beliau amat prihatin dengan nasib malang yang menimpa mangsa, justeru satu penempatan baharu yang lebih selesa akan dicari untuk setiap keluarga berkenaan secepat mungkin.

"Dalam jangka masa pendek kita perlu pindahkan kesemua mangsa ini di kediaman baharu. Kita sedar ini merupakan kawasan setinggan tetapi saya akan minta Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) atasi masalah ini termasuk menyediakan pusat pemindahan yang lebih selesa.

"Kita mahu pastikan aspek keselamatan dan kesihatan kesemua mangsa khususnya kanak-kanak dan warga emas diberi tumpuan," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat dan menghulurkan sumbangan kepada semua mangsa di dewan tersebut hari ini.

Mohd. Shafie yang datang bersama pegawai-pegawai kerajaan menghulurkan pelbagai bantuan keperluan makanan harian seperti beras, minuman, makanan ringan dan kelengkapan tidur antaranya tilam, bantal serta selimut.

Dalam kejadian pada pukul 2 petang semalam, sebanyak 150 buah rumah di penempatan setinggan di kampung berkenaan musnah dalam kebakaran bagaimanapun semua penghuninya selamat.

Sementara itu, Mohd. Shafie berkata, masalah setinggan yang banyak di negeri ini adalah perkara yang menjadi keutamaan beliau untuk diatasi sejak mentadbir Sabah kerana telah dijanjikan dalam pilihan raya umum lalu.

Katanya, langkah segera bagaimanapun sukar dilaksanakan kerana penyelesaian berkenaan memerlukan satu kajian dan perincian sebelum apa-apa keputusan diambil.

"Kita tidak mahu semakin ramai penduduk tempatan tinggal di kawasan setinggan, perkara ini bukan sahaja berlaku di Kota Kinabalu tetapi di daerah-daerah lain seperti Sandakan dan Tawau," kata beliau. - UTUSAN ONLINE