Pengarah Urusan Ekspres Perdana, Laili Ismail berkata, selain dilengkapi dengan sistem pengesanan global (GPS), setiap bas milik syarikat itu turut dipasang alat pengesan had laju yang berfungsi mengehadkan kelajuan maksimum sehingga 90 kilometer sejam.

Kata beliau, berdasarkan rekod GPS ketika nahas berlaku, iaitu kira-kira pukul 5 pagi, 2 September lalu, bas berkenaan didapati dipandu dengan kelajuan 81 kilometer sejam.

“Adalah tidak benar dakwaan pihak tertentu yang mengatakan nahas disebabkan bas dipecut dengan laju. Punca sebenar masih lagi disiasat namun siasatan awal polis mendapati nahas berlaku selepas bas terlanggar pembahagi jalan sementara diperbuat daripada konkrit.

“Lawatan pihak syarikat ke lokasi kejadian mendapati, laluan di situ bertukar dari dua lorong kepada satu lorong dan tiada lampu jalan. Mungkin pemandu tidak sempat mengelak pembahagi jalan sementara yang diletakkan di situ,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Dalam kejadian 2 September lalu, pemandu bas, Mohamad Azizul Che Aziz, 31, dan penumpang, Munzirah Jalaludin, 20, yang juga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar maut terkena bongkah pembahagi jalan konkrit yang bergolek masuk ke dalam bas.

Mengulas lanjut, Laili berkata, Allahyarham Mohamad Azizul mempunyai rekod perkhidmatan cemerlang sepanjang menjadi pemandu Ekspres Perdana sejak lima tahun lalu selain tidak memiliki rekod jenayah atau pernah terlibat dengan kemalangan.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, Ekspres Perdana amat menekankan aspek keselamatan selain berusaha sedaya upaya mematuhi prosedur ditetapkan dari segi penyelenggaraan kenderaan serta pemilihan pemandu.

“Kesemua bas Ekspres Perdana berjenama Scania, iaitu pengeluar bas berteknologi tinggi dan terbaik di dunia buatan Sweden dengan had penggunaan setiap bas dipastikan tidak melebihi lima tahun.

“Dalam aspek pemandu pula, mereka yang dipilih merupakan pemandu berpengalaman, sifar rekod kemalangan, rekod disiplin dan jenayah lampau selain wajib menjalani ujian air kencing. Ujian itu dilakukan secara berkala terhadap setiap pemandu,” katanya. - UTUSAN ONLINE