Kejadian berlaku di Kilometer 123.4 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berdekatan Yong Peng di sini, hari ini.

Kemalangan pukul 8.40 pagi itu berlaku ketika kesemua mereka dalam perjalanan ke Mahkamah Tinggi Muar sebelum sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux di hadapan mereka terbabas berpunca daripada hujan lebat dan jalan licin di tempat kejadian.

Ekoran itu, kenderaan MPV polis yang menjalankan tugas mengiring dipandu seorang anggota berpangkat koperal cuba mengelak daripada melanggar Toyota Hilux tersebut tetapi hilang kawalan sebelum dilanggar van yang diiringi sehingga menyebabkan kedua-dua kenderaan terbabas masuk ke dalam parit di sebelah kiri jalan.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, kenderaan MPV dan van tersebut sedang dalam perjalanan dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang membawa empat OKT untuk menghadiri perbicaraan kes yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Pemandu van tersepit di tempat duduknya dan disahkan patah kaki kanan manakala anggota lain yang cedera ringan sudah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau menambah, kesemua OKT yang cedera ringan turut dibawa pulang ke penjara selepas mendapatkan rawatan lanjut sebagai pesakit luar.

Abdul Wahib berkata, pemandu Toyota Hilux bersama penumpangnya yang juga merupakan saksi kepada OKT yang dibawa hanya mengalami luka kecil.

Katanya, keadaan jalan di tempat kejadian adalah lurus serta jarak pandangan di hadapan terhad disebabkan hujan lebat dan kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.