Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, pihak hospital menerima panggilan mengenai kejadian itu pukul 2.57 pagi dan tiba di lokasi kemalangan pada 3.10 pagi.

Beliau berkata, mangsa berusia 25 tahun itu dibawa ke Jabatan Kecemasan oleh ambulans pukul 3.15 pagi dan di unit itu, mangsa dirawat di zon merah serta ujian radiologi serta pengimbasan tomografi berkomputer (CT Scan) telah dilakukan segera tanpa sebarang permohonan bayaran terlebih dahulu.

“Pesakit kemudiannya di­ru­­juk ke Jabatan Pembedahan Neuro dan pembedahan kecemasan telah dirancang untuk membuang darah beku di dalam kepalanya dengan segera.

“Isu pembayaran hanya timbul apabila waris mangsa tiba di hospital dan pihak hospital memohon pembayaran deposit sebanyak RM2,575 sebagai tuntutan Akta Fi. Walau bagaimanapun waris memohon AOR discharge (keluar hospital dengan tanggungan sendiri) untuk membawa mangsa pulang ke Singapura bagi rawatan lanjut di sana,” katanya dalam satu kenya­taan di sini hari ini.

Ayub berkata, pada dasar­nya di Jabatan Kecemasan yang diamalkan di semua hospital kerajaan tidak memohon pembayaran lebih awal sebelum rawatan dijalankan untuk kes-kes kritikal seperti kes di atas termasuk warga asing.

“Jadi, saya menafikan bahawa kes ini adalah disebabkan kelewatan ambulans atau masalah pembayaran. Pihak hospital akan sedaya-upaya melakukan yang terbaik untuk membantu semua pesakit yang mendapatkan rawatan,” katanya.

Beberapa hari lalu tular dalam media sosial kisah langgar lari sebuah kereta di Jalan Dato’ Abdullah Tahir di Taman Abad, di sini yang menimpa Justinian Tan yang baru selesai makan lewat malam bersama-sama lima rakannya dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi Jumaat lalu.

Rakan mangsa, Ernest Lee dipetik sebagai berkata, pihak berkaitan melengah-lengahkan bantuan kecema­san terhadap mangsa, malah mendakwa ambulans hanya tiba di tempat kejadian setengah jam selepas kejadian manakala seorang lagi rakannya yang bernama Joshua pula mendakwa mereka diminta membayar RM1,350 setiap seorang untuk rawatan Justinian.

Mereka turut mendakwa seorang lagi rakan, Brandon Yeo, 24, yang mengalami kecederaan ringan terpaksa menunggu empat jam sebelum mendapat prognosis mengenai keadaan kedua-dua mangsa.

Menurut Joshua, pada pukul 8.30 pagi iaitu lima jam selepas kemalangan itu berlaku, pihak hospital sekali lagi meminta bayaran RM1,350 kerana Justinian perlu dibedah akibat pendarahan dalam otaknya.

Justinian yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik itu disahkan mati otak pukul 5.56 petang Isnin lalu dan kelmarin, ibu ba­panya membenarkan doktor mencabut sistem sokongan hayatnya.