Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 10.30 pagi itu menyebabkan bahagian badan L. Darshant yang merupakan murid tahun dua itu melecur teruk dari leher hingga kaki.

Bapanya, M. Loganathan, 46, berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian yang menimpa anak tunggalnya itu dan tiga rakan lain termasuk seorang murid perempuan oleh isterinya pada pukul 11 pagi.

Katanya, kesemua kanak-kanak terbabit dihantar ke Hospital Seri Manjung menggunakan kenderaan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk rawatan kecemasan.

"Menurut rakan Darshant, kejadian berlaku setelah cerek elektrik plastik yang digunakan dalam eksperimen itu terjatuh hingga menyebabkan air panas di dalamnya tumpah terkena mereka.

"Ketika kejadian, kedudukan kerusi keempat-empat murid itu juga terletak berhampiran dengan cerek tersebut dan ini menyebabkan mereka tidak sempat mengelak," katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Loganathan berkata, tiga rakan anaknya diberikan rawatan pesakit luar manakala anaknya pula ditahan di hospital tersebut kerana keadaannya yang kritikal sebelum dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada hari yang sama. - UTUSAN ONLINE