Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, mangsa, Mohd. Riduan Hakim Abd. Rashid, 12, murid Sekolah Kebangsaan Sungai Tiang Darat dihantar ke Klinik Kesihatan Sungai Batang di sini namun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan di dada.

Bapa mangsa, Abdul Rashid Ahmad Aziz Ahmad, 36, berkata, mang­sa yang merupakan anak sulung daripada lima adik beradik me­raih keputusan 6A 2B dalam UPKK 2017 yang diumumkan baru-baru ini.

Menurutnya, dia berjanji akan membelikan anaknya itu sebuah basikal jika mendapat keputusan yang baik dalam ujian tersebut.

“Sebenarnya saya mahu membuat kejutan dengan membawanya membeli basikal sebagai hadiah kerana dia mendapat keputusan yang baik dalam UPKK.

“Namun saya tidak sempat untuk memberitahunya mengenai hasrat saya itu, jika saya membe­ri­tahunya tentu dia tidak mengikut datuknya ke kebun,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd. Marzukhi Mohd. Mokhtar berkata, kejadian berlaku ketika mangsa menemani datuknya mengait kepala sawit.

Menurutnya, sabit yang digunakan datuk­nya itu terjatuh bersama buah sawit sebelum melantun dan terkena bahagian kiri dada mang­sa.

“Mangsa yang cedera dihantar ke Klinik Kesihatan Sungai Batang di sini namun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat,” katanya.

Sementara itu, jenazah mang­sa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tiang pada pukul 9.30 pagi.