Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang tersebut, mangsa, Mohammad Haekal Rizal Abdullah yang juga murid Sekolah Rendah Taman Koperasi Polis Fasa 2,Batu Caves mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan maut di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kawasan kemalangan adalah jalan kampung dan hanya mempunyai satu lorong sempit.

“Ketika kejadian, lori sampah dipandu oleh seorang lelaki berumur 53 tahun telah berlanggar dengan basikal mangsa yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat pelanggaran, mangsa terjatuh dan digilis lori tersebut. Sehingga kini tiada saksi yang tampil dan kawasan itu juga tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, siasatan lanjut sedang dilakukan bagi menentukan punca sebenar kemalangan dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE