Presidennya, Dr. Mohd. Daud Sulaiman berkata, pasukan perubatan MRA dari Kedah itu dianggotai oleh empat orang doktor dan enam sukarelawan yang diketuai oleh Dr. Saifullah Halim Al Hany selaku pengarah misi perubatan MRA untuk bantuan banjir di Utara Semenanjung.

“MRA telah menawarkan pemeriksaan kesihatan dan menyalurkan ubat-ubatan di pusat penempatan banjir tersebut dengan sokongan logistik iaitu tiga buah kenderaan pacuan 4 roda serta sebuah van milik MRA.

“Pusat penempatan banjir tersebut dihuni oleh 48 buah keluarga yang mana kebanyakan daripada mereka mengalami jangkitan saluran pernafasan atas, demam selsema beberapa penyakit kronik seperti darah tinggi, diabetes dan radang sendi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Daud, agihan pek kebersihan juga telah dilakukan ke beberapa pusat penempatan banjir di sekitar Sungai Petani termasuk Kampung Setiabudi, Tikam Batu dan Kampung Bujang.

Sementara itu, pasukan sukarelawan dari MRA Pahang yang diketuai oleh Mahadi Deraman bekerjasama dengan pasukan sukarelawan Gerakan Belia 4B bagi menyerahkan bantuan dan mengadakan gotong-royong di beberapa rumah yang terkesan akibat banjir di Kampung Manggis, Seberang Perai, Pulau Pinang.

“Pasukan perubatan dan sukarelawan dari MRA Kelantan dan Perak pula dijangka turut terlibat esok untuk terus bantu meringankan kesulitan mangsa-mangsa banjir di beberapa lokasi di Kedah dan Pulau Pinang,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghulurkan sumbangan ikhlas anda ke akaun Public Bank Berhad 398891608 di atas nama Malaysian Relief Agency Foundation.

Layari laman sesawang rasmi MRA di www.mra.my atau hubungi Sekretariat MRA di 03-91744672 untuk maklumat lanjut. - UTUSAN ONLINE