Ketua Pengarah Cawangan Ope­rasi Pertahanannya, Brigedier Jeneral Datuk S.S. Mahendra berkata, misi tersebut melibatkan penghantaran barang-barang keperluan asas.

Menurutnya, pesawat yang membawa 19 tan bekalan keperluan asas itu berlepas ke selatan Filipina kira-kira pukul 6 pagi ini.

“TUDM menyediakan bantuan pengangkutan dari Malaysia ke Marawi dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Filipina akan menerimanya sekaligus mengagihkan bekalan tersebut kepada mereka yang memerlukan.

“Barangan tersebut dibekalkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Program Makanan Sedunia (WFP) di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) khususnya kepada mereka yang ditimpa musibah serta hilang tempat berteduh,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan pelepasan misi berkenaan di Pangkalan TUDM Subang dekat sini, hari ini.

Turut serta dalam misi itu adalah 11 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).