Antara kawasan yang terjejas ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Lepong Ajai, Sungai Liam Bakong, Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Sungai Rait, Rumah Panjang Lepong Ajai dan Taman Tunku di sini.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, hujan lebat sejak pukul 3 pagi menyebabkan SK Lepong Ajai terpaksa ditutup apabila kawasan sekolah itu dinaiki air sedalam kira-kira 1.5 meter.

Katanya, penutupan sekolah itu telah menjejaskan 89 murid, 14 guru serta kakitangan sokongan.

“Namun, setakat pukul 9 pagi tadi, belum ada pemindahan mangsa banjir dilakukan memandangkan keadaan semakin terkawal.

“Hujan juga telah berhenti dan air semakin surut, namun pasukan bomba masih melakukan operasi pemantauan bagi memastikan tiada perkara tidak diingini berlaku,” katanya ketika dihubungi pagi ini.

Poh Kiong menambah, orang awam dinasihatkan berhati-hati dan membuat persediaan awal sekiranya berlaku banjir kilat di kawasan mereka, ekoran keadaan cuaca tidak menentu ketika ini. - UTUSAN ONLINE