Ribuan penduduk dilaporkan terjejas dan ada yang terperangkap dalam banjir setinggi satu meter terutama di sekitar Sungai Pinang, Jalan Perak dan Jalan Masjid Negeri.

Bencana banjir kilat itu yang disifatkan terburuk sejak beberapa tahun kebelakangan ini bermula awal pagi ini selepas hujan lebat selama beberapa jam sejak malam tadi.

Beberapa kejadian tanah runtuh turut dilaporkan berlaku di Tanjung Tokong yang menyebabkan sekurang-kurangnya enam ken­deraan tertimbus dan dihempap pokok tumbang, manakala jalan di Teluk Bahang terputus hubungan.

Dalam pada itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, setakat pukul 5 petang ini, sekurang-kurangnya tiga pusat pemindahan banjir dibuka bagi menempatkan penduduk terjejas dengan dua di bahagian pulau dan satu di Seberang Perai.

Di Teluk Kumbar, sebanyak 51 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan, manakala 18 keluarga lagi di Sungai Pinang sehingga pukul 5 petang ini selepas rumah mereka ditenggelami banjir.

Dalam pada itu, jurucakap tersebut memaklumkan, pihak­nya kini sedang memperluaskan usaha mencari seorang pekerja kilang yang dilaporkan dihan­yutkan arus deras selepas motosikalnya terbabas lalu terjatuh ke dalam longkang besar di Paya Terubung.

Dalam kejadian itu katanya, seorang saksi kejadian ternampak mangsa, Noor Afidah Yajunas, 29, terjatuh dan dihanyutkan arus deras kira-kira pukul 2 petang, namun operasi mencari dan menyelamat berdepan kesukaran kerana paras air yang agak tinggi.

Dalam perkembangan ber­kai­tan, kesemua penerbangan keluar dan masuk dari Lapa­ngan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas sejak pagi hingga petang ini juga dilaporkan mengalami kelewatan kerana cuaca buruk.