Muhammad MIKHAIL
MUHAMMAD MIKHAIL

Muhammad Mikhail Jafrul Nizam, 5, yang cedera di ke­pa­la serta patah tiga tulang rusuk kanan sehingga meng­akibatkan kecederaan pada paru-paru kanan itu juga sudah boleh bercakap.

Seorang ahli keluarganya yang enggan dikenali berkata, perkara pertama ditanya oleh Muhammad Mikhail sebaik mula membuka mata hari ini adalah ibunya, Marziana Mahadzir, 37, dan neneknya.

“Kami bagaimanapun terpaksa memujuk Muhammad Mikhail untuk berehat dahulu kerana keadaannya yang masih kurang stabil,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

Katanya, sebelum nahas, Marziana baru selesai membawa Muhammad Mikhail menjalani pemeriksaan di Kedah Medical Centre (KMC).

“Dia terkejut apabila mendapati bekas suaminya (Jafrul Nizam Jaafar, 38) berada di luar KMC menyebabkan dia terus masuk ke dalam kereta dan beredar sebelum dikejar sehingga terlibat dalam kemalangan itu,” katanya. 

Tambahnya, Marziana dan bekas suami sudah lima tahun berpisah dan ia dipercayai disebabkan oleh sikap panas baran bekas suaminya itu.

“Hak penjagaan Muhammad Mikhail diserahkan kepada Marziana manakala bekas suami dibenarkan mengambil anak sebulan sekali,” jelasnya.

Difahamkan, bekas suami wanita terbabit dimasukkan ke wad HSB bagi pemeriksaan berhubung penyakit gangguan mental, bipolar.

Sementara itu, seorang lagi mangsa dalam nahas tersebut yang merupakan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Koperal Faizal Baharom, 36, yang turut dirawat di wad HSB memberitahu, dia bersyukur kerana terselamat dalam kejadian tersebut.

Dalam kejadian beberapa hari lalu, seorang duda mengejar dan menghimpit kereta dipandu bekas isterinya mengakibatkan wanita itu dan anak lelaki mereka yang berusia lima tahun serta seorang lagi lelaki yang memandu kereta lain, parah dalam kemalangan membabitkan tiga kereta di Titi Gajah dekat sini.