Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines Berhad (MAB), Kapten Izham Ismail berkata, berdasarkan laporan diterima, pesawat dari Sydney ke Kuala Lumpur tersebut mengalami masalah teknikal dengan enjin sebelah kanan pesawat.

“Terdapat bunyi yang kuat di enjin bahagian kiri dan diikuti dengan amaran pada sistem pemantauan elektronik pesawat. Kapten kemudiannya meminta anak kapal bersedia untuk pendaratan normal.

“Tiada kekacauan dilaporkan di dalam kabin dan saya berterima kasih kepada semua anak kapal yang menguruskan situasi ini mengikut prosedur dan dengan keadaan tenang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau juga kesal dengan kejadian terbabit dan memohon maaf kepada penumpang yang berhadapan dengan situasi terbabit. - UTUSAN ONLINE