Mercy Malaysia dalam satu kenyataan memberitahu, penubuhan pusat kemanusiaan itu bertujuan merencanakan sukarelawan termasuk pengamal perubatan yang akan tiba di Sulawesi pada bila-bila masa.

“Kami juga difahamkan jentera berat sumbangan kerajaan akan sampai ke sini untuk membantu operasi mencari dan menyelamat,” katanya dalam kenyataan itu, di sini hari ini.

Setakat ini, seramai 1,649 orang dilaporkan terkorban sementara lebih seribu orang masih hilang dalam gempa bumi bermagnitud 7.2 pada skala Richter yang berlaku pada pukul 6.02 petang waktu Malaysia, 28 September lalu.

Berdasarkan laporan awal, kata Mercy, ancaman penyakit seperti masalah kulit dan kolera semakin merebak dan kini penduduk tidak lagi mendapat bekalan air bersih yang secukupnya.

“Sehubungan itu, kami memerlukan bantuan semua pihak untuk menyalurkan bekalan makanan dan ubat-ubatan selain bagi tujuan pemulihan komuniti di kawasan berkenaan,” ujarnya.

Mercy Malaysia turut mengalu-alukan sumbangan orang ramai.

Mereka yang mahu menderma untuk membantu mangsa boleh menyalurkan sumbangan kepada akaun Public Bank 3988591608 yang didaftarkan atas nama Malaysian Relief Agency Foundation.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Mohd. Fadhil Baharudin di talian 013-4557020 atau pejabat MRA di 03-91744672. - UTUSAN ONLINE