Dalam kemalangan pukul 6.45 petang itu, seorang mekanik, Mohd. Azlan Omar, 38, maut manakala rakannya, Mohd. Khairolnizam Mohd. Hanafi, 36, yang memandu kereta itu cedera parah.

Mohd. Azlan yang cedera parah di kepala dan badan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala Mohd, Khairolnizam yang parah di kepala, bahu dan kaki dikejarkan ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Beliau memberitahu, kejadian itu berlaku sewaktu kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari bandar Dungun menghala ke bandar Paka.

Jelasnya, setiba di tempat nahas, kenderaan yang dinaiki dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas dan berpusing-pusing lalu merempuh hentian bas di situ.

“Orang ramai yang menyedari kejadian tersebut bertindak mengeluarkan mangsa dan rakannya sebelum menelefon pihak polis mengenai kejadian tersebut, “ katanya.

Baharudin berkata, sebuah jentera bersama sepasukan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Paka juga bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan 6.59 petang bagi membantu mengeluarkan mangsa dari kenderaan. - UTUSAN ONLINE