Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, mangsa, Ham Kok Hooi, 35, dilaporkan meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Nor Azmi Isa berkata, mangsa yang berasal dari Taman Padu Permai, di sini dikatakan telah datang ke rumah berkenaan untuk membaiki sebuah MPV jenis Toyota Estima yang rosak milik seorang individu.

"Siasatan awal mendapati sebelum kejadian, mangsa berada di bahagian belakang MPV terbabit sebelum kenderaan itu secara tiba-tiba mengundur secara sendiri. Mangsa dikatakan cuba menahan kenderaan tersebut namun gagal.

"Akibat kejadian itu, mangsa telah tersepit di antara MPV berkenaan dengan pagar rumah terbabit sehingga menyebabkan kecederaan parah di bahagian kepala," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Nor Azmi, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ), di sini manakala laporan bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat  kecederaan parah di kepala.

Kes itu katanya disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.  - UTUSAN ONLINE.