Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi tu, mangsa, Abd. Rahman Ishak, 39, dari Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) 410 di sini berada di bawah bas untuk memasang hydraulic jack bagi menukar tayar kenderaan tersebut.

Seorang saudara mangsa, Mohd. Zamri Umor, 33, berkata, secara tiba-tiba, hydraulic jack yang dipasang rosak, menyebabkan badan bas berkenaan jatuh dan menghempap mangsa.

Menurutnya, rakan sekerja mangsa yang melihat kejadian itu segera mengeluarkannya dari bawah bas.

“Pemilik bengkel yang turut berada di situ terus menghubungi ambulans untuk mendapatkan bantuan kecemasan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Ujar Mohd. Zamri, mangsa dalam keadaan separuh sedar ketika dikeluarkan dari bawah bas berkenaan.

Tambahnya, Abd. Rahman dikejarkan ke Hospital Jerantut untuk mendapatkan rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Ahmad Shah, Temerloh.

“Abd. Rahman sudah lama be­kerja di situ dan ini adalah kemalangan pertama menimpanya di tempat kerja,” ujarnya.