Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Md. Asri A. Wahab berkata, berdasarkan maklumat awal, mangsa yang dikenali sebagai Mustamim berusia dalam lingkungan 30-an itu dikatakan keluar daripada rumahnya di Kampung Sepakat, di sini kira-kira pukul 12.30 tengah hari pada Rabu lalu. 

Sejak daripada hari itu katanya, mangsa yang bekerja di sebuah ladang sawit di sini tidak pulang ke rumah sehinggalah mayatnya ditemui meninggal dunia di tebing sungai berkenaan semalam. 

“Namun, hasil bedah siasat mendapati tiada sebarang kesan kecederaan ditemui pada badan mangsa. Malah, kita tidak menemukan sebarang unsur-unsur jenayah berkaitan kematian mangsa yang disahkan akibat lemas. 

“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih lagi diteruskan,” katanya hari ini yang turut memaklumkan mayat mangsa dibawa ke Hospital Tanjong Karang. 

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Kuala Selangor, Mohd. Al Hafiz Asmuni ketika dihubungi memaklumkan pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan mayat mangsa di tebing Sungai Selangor kira-kira pukul 3.53 petang semalam. 

Ekoran itu, pihaknya telah mengerahkan sepasukan anggota termasuk pegawai bersama sebuah jentera FRT dan sebuah bot penyelamat untuk mengeluarkan mangsa daripada sungai berkenaan sebelum diserahkan kepada pihak polis. - UTUSAN ONLINE.