Jurucakap bomba berkata, mayat Abang Madehan Abang Awi, 43, dijumpai pada pukul 8.30 pagi oleh orang awam.

“Mayat mangsa ditemukan kira-kira 1 kilometer dari lokasi bot berkenaan karam,” katanya ketika dihubungi di sini.

Dalam kejadian kelmarin, mangsa yang menyertai sekumpulan sukarelawan dalam perjalanan menghantar bantuan air mineral kepada penduduk Kampung Paloh apabila bot dinaiki karam akibat dipukul ombak kuat.

Kejadian itu menyebabkan kesemua 11 penumpang terjatuh ke dalam sungai, namun mangsa gagal menyelamatkan diri selepas dihanyutkan arus deras. - UTUSAN ONLINE