MUHAMMAD FAKRI AMIN MOHAMAD ASRI
MUHAMMAD FAKRI AMIN MOHAMAD ASRI 

Mayat Muhammad Fakri Amin Mohamad Asri,13, ditemukan kira-kira 30 meter dari tempat kejadian kira-kira pukul 12 tengah malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Penolong Penguasa Bomba Yus Heary Mahmud berkata, operasi mencari dan menyelamat yang dihentikan sementara pada pukul 7 malam disambung semula sejam kemudian dengan kaedah pencarian di permukaan air dan pemantauan pesisir pantai.

“Syukur, mayat mangsa ditemukan dalam jarak yang tidak jauh dari lokasi kejadian dalam tempoh tidak sampai 24 jam,”katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA) Kota Bharu; Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pasir Tumbuh; PBS Wakaf Bharu; PBS Pengkalan Chepa; Polis Bachok; Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas berkenaan.

Dalam kejadian petang semalam, kakak mangsa, Noor Atikah dan seorang rakannya yang berada di lokasi kejadian cuba menyelamatkan mangsa namun tidak berjaya kerana ombak besar.

Yus Heary berkata, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum dituntut oleh keluarga yang berasal dari Lundang, Kota Bharu.

Dalam pada itu, beliau menasihati pengunjung pantai berkenaan supaya tidak berada di atas batu benteng pemecak ombak bagi mengelakkan risiko dan kemalangan di luar jangkaan.

“Pengunjung boleh terjatuh ke dalam laut sekiranya berada di atas batu yang licin dan berlumut. Malah, kejadian yang tidak terduga termasuk ombak besar yang turut menghempas ke atas batu terutama sekitar muka kuala berkenaan,” katanya. - UTUSAN ONLINE