Ketua Polis Daerah Segamat Superintenden Raub Selamat berkata, mayat Mohd. Fais Syafiq Hassan, 21, ditemukan terapung oleh pasukan SAR pada pukul 7.45 pagi ini.


Beliau berkata, bapa mangsa yang turut serta dalam operasi berkenaan turut membuat pengecaman ke atas mayat anaknya itu.


“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Segamat untuk dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia sebentar tadi. 


Dalam kejadian pukul 4 petang itu, mangsa bersama bapa saudara, sepupu dan rakannya menaiki bot dari Kampung Tengah ke Jalan Pemuda selepas mereka pulang mengemas rumah akibat banjir.


Sebaik tiba di tempat kejadian, bot dinaiki mereka berlanggar dengan sebuah bot lain menyebabkan bot mangsa dimasuki air dan terbalik.


Mangsa telah dihanyutkan arus deras, manakala penumpang lain berpaut pada bot berkenaan sebelum diselamatkan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (Apm) yang kebetulan melalui kawasan itu. - UTUSAN ONLINE