Mangsa, Muhammad Jamil Lango, 35, maut dalam kemalangan pada pukul 1.30 petang itu berikutan kepala lori tersebut terbenam di kawasan tanah gambut serta berpaya.

Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri, Mohd. Sani Harul berkata, mayat mangsa dikeluarkan pada pukul 9 malam tadi selepas mengalami kesukaran kerana kedudukannya yang berada di bawah kepala lori.

“Pasukan bomba dan penyelamat menerima panggilan kira-kira 15 minit selepas kejadian. Sebaik sahaja tiba, kami mendapati sebuah lori 20 tan terbabas dan terbalik di dalam belukar yang merupakan kawasan tanah gambut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Noor Yusof Ali, kemalangan berlaku apabila mangsa yang memandu seorang diri di lorong kanan dari arah Kuantan menghala ke Sungai Ular hilang kawalan dipercayai akibat mengantuk.

“Berikutan itu, mangsa cuba mengelak ke kiri jalan lalu merempuh besi penghadang jalan dan jatuh ke dalam belukar berhampiran,” katanya. - UTUSAN ONLINE