Mayat Yeoh Ah Huat, 52, dijumpai kira-kira pukul 10.03 pagi oleh anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang membabitkan kerjasama di antara Jabatan Bomba dan Penyelamat, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta nelayan-nelayan tempatan.

Pengarah Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tanjong Karang, Arbain Saarani berkata, mayat mangsa yang berasal dari Pulau Pinang itu berjaya dikesan dilokasi 4.8 batu nautika dari perairan Bagan Pasir dalam keadaan terapung dan lengkap berpakaian dengan baju berwarna coklat serta berseluar biru.

“Kita telah mulakan operasi SAR untuk mencari mangsa sebaik sahaja dilaporkan hilang di perairan berkenaan pada 18 April lalu. Sejak itu kita telah mengerahkan aset serta anggota kita dengan kerjasama pelbagai agensi untuk mencari mangsa termasuk berhadapan dengan cuaca buruk.

“Bagaimanapun, kita berjaya menemui semula mangsa pada pagi ini. Mayat mangsa telah disahkan oleh rakannya, Lim Ching Chong, 46, yang merupakan tekong bot yang dinaiki mangsa semasa kejadian,” katanya di sini yang turut memaklumkan Pusat Kawalan Operasi Bomba (PKPB) telah ditutup secara rasmi pada pukul 11.40 pagi ini.

Tambah Arbain, mayat mangsa yang masih bujang itu telah dihantar ke Hospital Tanjong Karang, di sini untuk dibedah siasat.

Selasa lalu, Ah Huat dilaporkan hilang selepas keluar menangkap ikan bersama Ching Chong dan seorang lagi rakannya, Teoh Eng Chuan, 56, di Perairan Bagan Tengkorak di sini.

Akibat cuaca buruk, mereka kemudiannya dikatakan berpatah balik ke Jeti Bagan Pasir namun tidak berjaya sampai disebabkan bot mereka terbalik dan karam akibat dipukul ombak besar.

Bagaimanapun, Ching Chong dan Eng Chuan terselamat daripada kejadian itu selepas diselamatkan oleh nelayan berhampiran manakala Ah Huat tidak ditemui. - UTUSAN ONLINE