Mayat Putera Aminurrashid Zaidi, 21, ditemui terapung-apung kira-kira 50 meter dari lokasi mangsa terjatuh perairan pulau Kukup, dekat sini.


Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zakaria Abdul Rahman berkata, mayat mangsa yang lengkap berpakaian itu ditemui pasukan mencari dan menyelamat. 


Katanya, operasi mencari dan menyelamat mangsa yang dimulakan sejak petang kelmarin melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Pontian, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis, polis marin dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). 


Katanya, nelayan tempatan turut berganding bahu bersama-sama pasukan mencari dan menyelamat bagi mengesan mangsa. 


“Keadaan cuaca yang agak baik sejak operasi mencari dan menyelamat dimulakan membolehkan kawasan pencarian diperluaskan sehingga 8 batu nautika ke Singapura dan 5 batu nautika ke Indonesia. 


“Malah operasi pencarian juga telah dipecahkan kepada empat sektor bagi memudahkan pergerakan pasukan mencari dan menyelamat daripada pelbagai agensi,” katanya ketika dihubungi petang ini. - UTUSAN ONLINE