Mayat Wan Ahmad Azinuddin Wan Mazlan Ariffin, 14, ditemukan di dasar sungai tersebut oleh pasukan mencari dan menyelamat pada pukul 10.10 pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Zaini Bidin berkata, operasi itu membabitkan 30 anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dan Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Perubatan (EMRS) Kota Bharu.

“Operasi mencari dan menyelamat mangsa bermula pada pukul 7 pagi ini. Kita temui mangsa di dasar sungai yang mempunyai kedalaman tiga meter pada pukul 10.10 pagi ini.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat,” katanya di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 5.15 petang semalam, Wan Ahmad Azinuddin dilaporkan lemas ketika mandi di Sungai Baung berhampiran Kampung Sentosa bersama seorang rakannya. - UTUSAN ONLINE