Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, mangsa yang tidak mempunyai sebarang pengenalan diri dibawa oleh seorang lelaki dengan menaiki sebuah kereta Proton Wira berwarna hitam sebelum ditinggalkan di kawasan hospital.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Asisten Superintenden Nik Ahmad Kamil Che Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira- kira pukul 6.30 pagi sebelum siasatan lanjut dijalankan.

“Mangsa dihantar oleh seorang lelaki dengan menaiki kereta sebelum ditinggalkan di Unit Kecemasan berkenaan.

“Mangsa dikatakan menumpang sebuah treler untuk ke utara tanah air, Namun kenderaan itu terbabas selepas Hentian Titiwangsa di Kilometer 61.8 Lebuh Raya Timur Barat Jeli - Gerik,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambahnya, mangsa mungkin dihantar pengguna jalan raya di laluan tersebut, namun sehingga kini belum diketahui latar belakangnya.

“Kita sukar mengenal pasti identiti mangsa kerana tidak menemukan sebarang kad identiti pada dirinya atau diserahkan oleh lelaki yang menghantarnya itu,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, hasil siasatan lanjut mendapati mangsa berusia 14 tahun dan beralamat di Kampung Kelar Besar, Pasir Mas.

Jelasnya, kes itu disiasat oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik mengikut Seksyen 41 (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mayat mangsa masih berada di Unit Forensik hospital tersebut untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian. –UTUSAN ONLINE