Dalam kejadian pada pukul 1 pagi itu, S. Puvaneswaran, 27, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR dikatakan dilanggar sebuah kereta Honda Civic dipandu seorang anggota polis berpangkat koperal.

Menurut Ketua Polis daerah, Superintenden Zainudin Ahmad, kemalangan berlaku di lorong kanan lebuh raya ketika kedua-dua kenderaan datang dari arah Port Dickson menuju Seremban.

“Akibat perlanggaran itu, lelaki tersebut tercampak dan diheret oleh kereta tersebut sejauh kira-kira 600 meter sebelum pemandu memberhentikan kenderaannya.

“Mangsa yang berada di atas jalan raya kemudian dilanggar oleh sebuah kenderaan lain menyebabkan tubuhnya terputus dua dan berkecai,” katanya di sini hari ini.

Zainudin berkata, mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Port Dickson dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987.

Beliau memberitahu, pemandu kereta Honda Civic pula tersepit di dalam kenderaannya dan mengalami patah kaki serta cedera di bahagian muka.

Katanya, pemandu tersebut berjaya dikeluarkan dari kenderaan oleh anggota bomba dan dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban untuk rawatan lanjut. - UTUSAN ONLINE