Dalam kejadian kira-kira pukul 8.05 pagi itu, mayat mangsa ditemukan nelayan yang kebetulan melalui kawasan berkenaan sebelum menghubungi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) untuk tindakan lanjut.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Leftenan Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, pihaknya menggerakkan sebuah aset iaitu Bot Kilat 7 bersama empat anggota ke lokasi penemuan selepas menerima laporan daripada nelayan tersebut.

“Mayat lelaki itu kemudian dibawa ke Jeti Feri Kuala Kedah, di sini untuk diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Mayat tanpa identiti itu dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, di sini untuk dibedah siasat.

“Sehingga kini pihak Maritim Malaysia Zon Kuala Kedah tidak menerima sebarang aduan daripada orang awam tentang kehilangan ahli keluarga,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, pihaknya meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga untuk menghubungi Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.-UTUSAN ONLINE