Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan satu mayat lelaki di kawasan air terjun berkenaan pada kira-kira pukul 11.30 pagi.

“Lima anggota ‘Light Fire Rescue Tender' (LFRT) daripada Balai Bomba dan Penyelamat Yan serta sebuah utiliti kembara bersama tiga anggota dari Guar Chempedak telah bergegas ke Titi Hayun selepas panggilan kecemasan diterima.

“Apabila laporan penemuan mayat tersebut disahkan benar, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Yan iaitu Penolong Penguasa Bomba Fauzi Shuib memohon bantuan daripada PDRM (Polis Diraja Malaysia), APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia), Rela (Jabatan Sukarelawan Malaysia) dan malim gunung untuk operasi membawa turun mayat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, perjalanan ke lokasi kejadian sejauh tiga kilometer itu dianggarkan mengambil masa kira-kira dua jam 30 minit.

“Pasukan penyelamat mula bergerak ke lokasi kejadian pada kira-kira 2 petang tadi untuk membawa turun mayat berkenaan untuk tindakan lanjut,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE