Mayat Efendi Panil, 45, merupakan warga Indonesia dijumpai pada pukul 6.40 pagi kira-kira 600 meter dari lokasi dia dilaporkan disambar dan diheret oleh reptilia ganas tersebut.

Mangsa ditemukan tersangkut pada ranting kayu dan masih lengkap anggota badan kecuali terdapat beberapa kesan lebam serta calar di muka dan bahu sebelah kanan oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

Ketua Polis Daerah, Deputi Superitenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Lawas untuk pengesahan oleh ahli keluarganya.

“Namun, pihak keluarga mangsa enggan mayat dibedah siasat dan membawa mangsa pulang untuk dikebumikan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam kejadian semalam, Efendi berketurunan Lun Bawang dilapor hilang selepas diterkam dan ditarik ke dalam sungai oleh seekor buaya ketika sedang mencedok air dari tebing sungai berkenaan kira-kira pukul 11.45 pagi.

Insiden serangan itu turut disaksikan oleh anak saudaranya berusia 19 tahun yang bersama mangsa membasuh pakaian dan mandi di sungai berkenaan.