Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden R. Supramaniam berkata, mayat mangsa berusia 46 tahun itu ditemukan orang awam yang melalui kawasan terbabit kira-kira pukul 10.15 pagi ini.

“Pemeriksaan lanjut ke atas mangsa menemukan dompet yang mengandungi wang tunai miliknya dan tiada kesan tikaman atau tembakan ditemukan pada badannya tetapi hanya kesan calar di tangan dan kaki kirinya.

“Siasatan lanjut ke atas kenderaan yang didaftarkan atas nama mangsa turut mendapati punca kebakaran bermula dari bahagian dalam kenderaan dan bukannya daripada enjin,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Supramaniam menambah, satu laporan polis telah dibuat oleh adik mangsa semalam yang mendakwa abangnya itu telah keluar rumah untuk bekerja di Subang Jaya, Selangor.

“Laporan polis itu dibuat kerana adik mangsa bimbang akan keselamatan abangnya yang dikatakan mengalami masalah kemurungan dan tidak membawa ubatnya.

“Kes akan diklasifikasikan selepas laporan bedah siasat dilakukan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Inspektor Hanafi di talian 013-2402487,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE