Pemangku Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintenden Mohd Faisal Mohd Noor berkata, mayat Abdul Rashid ditemukan kira-kira pukul 9.30 pagi dalam satu operasi menyelamat.

“Mayat mangsa ditemukan oleh penduduk kampung bersama polis dan anggota penyelamat Angkatan Pertahanan Awam di permukaan air lombong de­ngan jarak 600 meter dari tempat mang­sa jatuh.

“Mayat dibawa ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat dan operasi mencari dan menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada pukul 10.30 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Abdul Rashid ke kawasan lombong berkenaan bersama tiga anak saudaranya berusia 11 dan 13 tahun untuk beriadah sebelum dipercayai turun ke dalam lombong untuk menyeberangi saliran.

Bagaimanapun, mangsa tiba-tiba terjatuh dan dipercayai lemas.

Tentera Darat mengucapkan takziah di atas kematian Allahyarham Leftenan Kolonel Abdul Rashid Shahada.

Sel Perhubungan Raya Tentera Darat berkata, Allahyarham me­ninggalkan seorang balu, Normazila Mokhtar, 49, dan tidak mempunyai anak.

“Terima kasih kepada semua pihak termasuk orang awam dan agensi terbabit yang membantu dalam Operasi Mencari dan Menyelamat sejak semalam.

“Takziah kepada seluruh ahli keluarga dan diharap bersabar dengan dugaan ini. Semoga Allahyarham ditempatkan bersama orang-orang beriman,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sel Perhubungan Raya Tentera Darat itu memaklumkan, mayat Allahyarham ditemukan kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian oleh nelayan yang dibantu oleh anggota penyelam dari Pusat Latihan Peperangan Khusus (Pulpak).

“Jenazah dibawa ke Hospital Port Dickson untuk dibedah siasat dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Pelebar Dalam, Rembau, Negeri Sembilan hari ini,” kata pasukan ke­selamatan tersebut.