Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pekerja hotel yang melakukan kerja pembersihan di dalam bilik hotel tersebut.

"Rekod hotel menunjukkan mangsa telah mendaftar masuk ke hotel itu kira-kira pukul 4.33 pagi semalam.

"Siasatan awal mendapati tiada kesan kecederaan pada badan mangsa dan hanya terdapat buih di hidung dan mulutnya," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurut Ahmad Dzaffir, siasatan di lokasi kejadian juga tidak menemukan sebarang senjata yang digunakan untuk mencederakan mangsa.

Jelas beliau, semakan juga mendapati mangsa tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau atau berada dalam senarai dikehendaki oleh polis.

“Mayat kemudian telah dihantar ke Hospital Serdang, dekat sini untuk bedah siasatan dan polis sedang mengesan keluarga mangsa bagi tujuan pengecaman mayat.

"Siasatan lanjut masih diteruskan untuk menyiasat punca kematian si mati," jelasnya. - UTUSAN ONLINE