Mayat itu dipercayai ditemukan dalam dek kapal berkenaan setelah kerja-kerja menterbalikkan semula kapal tersebut berjaya dilakukan semalam.

Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kemudiannya membawa naik mayat itu di Jeti Nelayan Parit Jawa di Pantai Leka, di sini kira-kira pukul 1.30 petang ini.

Difahamkan mayat yang masih berbaju ketika ditemukan dipenuhi lumpur itu dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk tindakan selanjutnya.

Dalam kejadian berkenaan, kapal pengorek pasir yang membawa 18 kru kapal dilaporkan terbalik di kedudukan 15.3 kilometer dari Tanjung Tohor di Perairan Parit Jawa.

Lima daripada mereka ditemukan selamat, manakala bakinya meninggal dunia termasuk masih ada yang belum diketahui nasib hingga ke hari ini. -UTUSAN ONLINE