Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Azmi Osman berkata, pihaknya berjaya mengeluarkan mayat mangsa pada pukul 9.18 malam.

“Kedudukan mangsa yang tersangkut di celah konkrit runtuh menyebabkan kerja bertambah sukar.

“Kami perlu lebih berhati-hati sepanjang operasi mengeluarkan mangsa memandangkan keadaan gelap serta lokasi runtuhan terletak di tempat yang tinggi,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurut Azmi, pihaknya terpaksa menggunakan pelbagai kaedah termasuk menebuk konkrit yang menghempap mangsa sebelum mangsa berjaya dibawa keluar.

Ujarnya, mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Tambahnya, pasukannya telah menjalankan pemeriksaan di sekitar bangunan dalam pembinaan itu bagi memastikan kerja-kerja pembinaan boleh diteruskan.

Difahamkan, kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu dipercayai berlaku ketika mangsa yang maut bersama rakannya, Iqbal Hussein, 31, sedang mengeluarkan konkrit sebelum bahan itu jatuh dan menghempap mangsa. – UTUSAN ONLINE