Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, dalam kejadian 3 pagi itu, mangsa berusia 39 tahun yang berasal dari Taman Bukit Indah, di sini meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai melawan arus, iaitu datang dari susur turun Jalan Pasir Pelangi manakala kereta Mazda dari arah pusat bandar raya menghala ke Pandan sebelum bertembung di lokasi kejadian.

“Akibat pelanggaran tersebut, mangsa meninggal di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala, manakala pemandu wanita berusia 23 tahun yang berasal dari Bandar Baru Permas, Jaya di sini dihantar ke sebuah hospital swasta selepas mengalami luka pada tangan dan dada,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Shahurinain berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini untuk dibedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan 1987. - UTUSAN ONLINE