Mangsa B. Leelawathy, 15, yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri, dekat sini disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 7.30 malam ketika menerima rawatan di Hospital Selayang.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S. Shanmugamoorthy berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, mangsa bersama saudara maranya dikatakan telah bermain di buaian tersebut.

Bagaimanapun ujarnya, ketika sedang leka bermain mangsa dikatakan terjatuh sebelum kepalanya tersangkut pada besi buaian terbabit.

“Akibat daripada itu darah telah keluar daripada telinga dan hidung. Dengan bantuan orang ramai, mangsa dapat dilepaskan dari besi buaian itu sebelum mereka menghubungi pihak Hospital Selayang untuk mendapatkan bantuan.

“Mangsa seterusnya dibawa ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 7.30 malam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Shanmugamoorthy, proses bedah siasat akan dijalankan hari ini bagi mengenal pasti punca kematian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” jelasnya.

Sementara itu, seorang peniaga, Mary Kor, 37 ketika ditemui berkata, kejadian seumpama itu bukan kali pertama memandangkan anaknya sebelum ini juga pernah terlibat kemalangan di buai­an terbabit.

“Anak saya berusia tujuh tahun, retak di pergelangan kaki dan patah tiga jari akibat tersepit buaian itu.

“Saya dan rakan-rakan yang meniaga di sini berharap pihak berkuasa tempatan untuk meletakkan papan tanda mengenai buaian OKU terbabit agar ibu bapa yang membawa anaknya bermain di sini dapat mengawasi anak mereka,” ujarnya.