Dalam kejadian pukul 7.15 pagi itu, mangsa, Dina Dzulkarnain Asan, 28, meninggal dunia di tempat kejadian.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Deputi Superintenden Bingkok John berkata, kemala­ngan tidak melibatkan pelanggaran dengan kenderaan lain.

“Kami menemukan kesan calar pada permukaan jalan menun­jukkan motosikalnya terjatuh lalu terseret sebelum terhumban ke dalam lubang.

“Mangsa ditemukan di bawah motosikal dengan kepalanya te­rendam di dalam air,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, tanda amaran pembaikan jalan yang diletakkan di situ juga terlalu dekat dengan lubang pembinaan.

“Perkara ini boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya terutamanya pada waktu malam.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya.

Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan telah menggerakkan pasukan seramai 13 anggota sejurus menerima panggilan kecemasan dari Balai Polis Sentral pada pukul 7.23 pagi.