Dalam kejadian kira-kira pukul 7.40 pagi, Mohd. Zulfalah Mat Yusof, 33, dari Felda Jerangau Barat, Ajil yang dalam perjalanan balik ke pasar borong itu selepas menghantar barang di Pasar Marang meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala serta badan.


Nahas dipercayai berlaku apabila mangsa yang memandu Proton Saga dipercayai hilang kawalan ketika melalui jalan berbukit dan selekoh di lokasi berkenaan.


Difahamkan mangsa terbabas ke sebelah kiri dan melanggar penghadang jalan lalu terjunam ke dalam gaung sedalam tujuh meter.


Bomba dengan kekuatan tujuh anggota mengambil masa selama 15 minit untuk mengeluarkan mangsa. 


Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.-UTUSAN ONLINE