Anggota bomba membawa turun mayat Chong Chin Yee di Bukit Raka, Bentong, Pahang, semalam.

Kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu menyebabkan mangsa, Chong Chin Yee, 58, meninggal dunia di tempat kejadian selepas bahagian kepalanya pecah akibat ditimpa batu tersebut.

Difahamkan. batu sebesar bola itu jatuh dan melantun sebelum terkena kepala mangsa yang be­r­ada di barisan belakang kumpulan pendaki itu.

Seorang rakan mangsa, Hee Chew Chin,28, berkata, seramai sembilan orang termasuk dua kanak-kanak menyertai aktiviti pendakian yang bermula pada pukul 7 pagi.

Menurutnya, mangsa yang merupakan juru pandu dalam aktiviti pendakian itu berada di bahagian belakang bagi memantau ahli kumpulan lain melakukan pendakian yang dijangka memakan masa dua jam untuk sampai ke puncak setinggi 579 meter.

“Semasa kejadian kami sudah berada di pertengahan sebelum sampai ke puncak dan kawasan berkenaan agak curam. Tiba-tiba seketul batu sebesar bola jatuh dan melantun ke belakang sehingga terkena kepala mangsa.

“Kami agak terkejut apabila kepala mangsa mengalami pendarahan teruk sebelum kami menghubungi pihak polis dan bomba bagi meminta bantuan,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, seorang rakan mangsa yang enggan dikenali berkata, semasa kejadian dia yang berada di hadapan sempat mengelak batu berkenaan.

“Batu itu kemudiannya melantun dan saya tidak sangka terkena kepala mangsa,” katanya yang baharu kali pertama mendaki Bukit Raka di sini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bentong, Zainal Abidin Nong Chik berkata, pihaknya yang menerima panggilan pada pukul 8.44 pagi sampai di tempat kejadian pada pukul 10.28 pagi.

Ujarnya, bomba mengambil masa kira-kira tiga jam untuk membawa mayat mangsa keluar memandangkan laluan yang berbukit dan curam.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Bentong untuk bedah siasat,” ujarnya.