Rakannya, Muhammad Yasyri Syazani, 18, berkata, mangsa Nik Muhammad Addin Azmi, 18, amat dikenali di asrama mereka kerana seorang yang ceria dan gemar melakukan aktiviti mendaki gunung serta pernah menawan puncak Gunung Kinabalu sebelum ini.

“Walaupun baru tiga minggu mengenali arwah namun kami terasa akan kehilangan Nik Muhammad Addin. Tambahan pula, minatnya dalam sukan lasak membuatkan kami terkejut mengenai kejadian yang menimpa,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Jenazah Nik Muhammad Addin selamat dikebumikan kira-kira pukul 3 petang di Tanah Perkuburan Islam, PJS 4, Petaling Jaya dekat sini hari ini.

Bapa mangsa, Azmi Alias, 54, berkata, dia dan isteri, Nik Azizon Nik Touran, 54, sempat bertemu anak bongsu daripada tiga beradik itu petang semalam beberapa jam sebelum mangsa ditemukan maut kira-kira pukul 11.30 malam.

“Pada Sabtu lalu, saya dan isteri ada mengajak Nik Muhammad Addin balik ke rumah bapa saudaranya di Port Dickson, Negeri Sembilan, namun dia tidak mahu kerana ada tugasan perlu diselesaikan.

“Namun, tengah hari semalam, arwah menghubungi saya untuk datang ke asramanya kerana mahu membeli barang keperluan di Cyberjaya sebelum menghantar semula ke asrama kira-kira pukul 8.30 malam. Sepanjang tempoh itu arwah tidak menunjukkan sebarang petanda untuk pergi me­ninggalkan kami,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz menafikan dakwaan yang tular dalam laman sosial bahawa kematian Nik Muhammad Addin disebabkan terjatuh dari buaian (hammock) yang dipasang mangsa di atas palang balkoni luar biliknya.

Menurutnya, penuntut UiTM itu terjatuh ketika duduk di atas palang besi balkoni luar bilik asramanya dan dipercayai tergelincir kerana gagal mengimbangi badan sebelum terjatuh dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam.

“Rakaman percakapan rakannya yang turut berada di situ menunjukkan mangsa sedang bercakap di telefon sambil duduk atas besi palang balkoni menghadap ke luar bangunan dan secara tiba-tiba tergelincir lalu jatuh,” katanya.

Menurutnya, tiada unsur jenayah dalam kejadian tersebut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.