Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman berkata, mengikut saksi kejadian, kedengaran bunyi bahan letupan meletup selain terdapat serpihannya di luar premis.

“Ekoran letupan itu menyebabkan kebakaran. Ada enam lelaki (mangsa), namun kita masih siasat identiti mereka sama ada pemilik atau pekerja.

"Mayat mangsa ditemukan dengan kesan kebakaran yang teruk dan ada kesan bahan letupan dan mungkin mereka tidak dapat menyelamatkan diri” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurut Yahya, pihaknya masih mengenal pasti pemilik premis dan hasil semakan pihaknya mendapati premis berkenaan tidak mempunyai lesen sedangkan premis berhampiran dengannya merupakan syarikat pakar bahan letupan berlesen.

“Kita tidak tahu apa yang berlaku, berkemungkinan lokasi ini menyimpan bahan letupan namun, kita masih siasat.

“Kita tidak pasti apa kaitan syarikat ini dengan selang satu kedai yang lain. Terdapat seorang dipercayai pekerja berada di luar premis dan dia selamat dan kita akan soal dia dengan lebih lanjut," katanya.

Tambah beliau, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana kecuaian bahan letupan sehingga menyebabkan kematian tanpa niat. - UTUSAN ONLINE