Dalam nahas kira-kira pukul 10 malam, mangsa yang belum diketahui identiti berumur lingkungan 30 tahun maut serta-merta di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Taufik Maidin berkata, sebaik tiba di lokasi, kenderaan berat jenis Volvo itu dipercayai telah tergelincir di tebing jalan akibat tanah lembut sebelum terbalik ke arah kanan jalan.

Katanya, ketika kejadian, mangsa dipercayai memandu bersendirian lori yang tidak mempunyai cukai jalan dan insuran perlindungan itu.

“Mangsa tidak sempat keluar menyelamatkan diri ketika kenderaan berat itu terbalik lalu menghempap tubuhnya.

“Mayat mangsa yang tersepit di bawah kepala lori itu dibawa keluar oleh sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang dan dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat,” katanya sambil memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd. Arifuddin Akif Mohd. Noor berkata, 10 anggota bersama dua jentera bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.25 malam.

“Operasi mengeluarkan mangsa tersepit mengambil masa hampir tiga jam dan tamat pada pukul 3.06 pagi sebelum mayatnya kita serahkan kepada pihak polis,” katanya. - UTUSAN ONLINE