Dalam kejadian pada pukul 3.30 petang itu, mangsa yang berusia 36 tahun ditemukan pasukan penyelamat kira-kira satu kilometer dari lokasi mangsa terjun ke sungai.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Norazam Shaari berkata, sebelum kejadian, mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah selepas minum minuman keras di sebuah restoran di Kampung Baru Cina terbabit.

"Mangsa telah memberitahu rakannya bahawa dia hendak mandi di sungai yang berhampiran di situ sebelum pulang ke rumah.

"Rakan mangsa mengesahkan bahawa mangsa terjun ke dalam sungai dan tenggalam timbul serta telah dibawa arus yang laju dan hilang dari pandangan," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Norazam berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan dengan bantuan pihak bomba dan penyelamat serta sukarelawan Felda Tebrau dengan menjejaki sepanjang sungai Kampung Muhibbah, Ulu Tiram di sini.

Katanya, mangsa ditemukan kira-kira satu kilometer dan disahkan meninggal dunia sebelum mayat dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini untuk bedah siasat. - UTUSAN ONLINE