Muhammad Faiziel Mohammad Rusdi, 27, yang cedera parah dalam kejadian itu disahkan meninggal dunia pukul 6.30 petang ini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd. Taufik Maidin berkata, mangsa sebelum ini dihantar ke Hospital Gua Musang sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Krai.

Terdahulu Utusan Online melaporkan seorang wanita terkorban bersama anak perempuannya, manakala dua lagi anaknya cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas ke dalam cerun sebelum melanggar tiang elektrik di Kilometer 31, Jalan Gua Musang-Kuala Krai.

Dalam kejadian pada pukul 2.40 pagi itu, Maslan Hassan, 55, yang berada di tempat duduk belakang dan anaknya, Nur Fashiera Mohammad Rusdi, 25, yang berada di tempat duduk penumpang hadapan maut di lokasi nahas akibat tercampak dari kenderaan.

Anak lelakinya, Muhammad Faiziel, 27, yang memandu kenderaan jenis Perodua Myvi terbabit cedera parah manakala seorang lagi anak perempuannya yang berada di tempat duduk belakang, Nur Farrah Ezlyn, 22, patah tangan kiri.

Difahamkan, keluarga berkenaan dalam perjalanan dari Damansara, Kuala Lumpur untuk menyambut Hari Raya Aidiladha di Kampung Rekang Hilir, Jelawat, Bachok. - UTUSAN ONLINE