Kesemua mangsa tersebut selamat tiba pada pukul 5.27 pagi dengan menaiki pesawat tajaan AirAsia X dari Auckland, New Zealand ke KLIA2.

Ketibaan mereka disambut Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Berhad, Benyamin Ismail.

Menurut salah seorang mangsa, Rasol Abu Bakar, 59, dia melahirkan rasa syukur apabila kesemua ahli keluarganya yang lain terselamat dalam insiden kebakaran tersebut.

Katanya, ketika kejadian mereka sekeluarga baru selesai menunaikan solat Isyak secara berjemaah di rumah sewa percutian tersebut.

“Ketika itu saya hanya ingat Allah dan mati sahaja kerana api sangat marak dan asap tebal menyelubungi seluruh rumah dua tingkat itu.

“Namun, mujur semua ahli keluarga termasuk dua cucu saya yang berumur dua dan empat tahun berjaya melepaskan diri melalui pintu hadapan dan belakang,” katanya di sini.

Rasol berkata, dia dan anak keduanya, Muhammad Nur Adli Rasol, 30, menyelamatkan diri melalui pintu hadapan, manakala yang lain keluar menggunakan pintu belakang. - UTUSAN ONLINE