Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, Deputi Superintenden,  Barudin Wariso berkata,  berdasarkan keterangan saksi dipercayai berlaku runtuhan susulan sekali gus mengakibatkan mangsa tertimbus hingga ke dalam.

“Kita percaya mangsa gagal mengesan mendapan awal sebelum melalui jambatan tersebut lalu terjatuh dan runtuhan susulan berlaku mengakibatkan mangsa tertimbus ke dalam.

“Ia berdasarkan keterangan saksi di tempat kejadian dan kerja-kerja mengeluarkan mangsa juga rumit,” 
katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.15 malam itu, mangsa, Muhammad Haikal Hakimi Mohd Noor, pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Serdang Baru dan Mohamad Haziq Ishak yang juga pembantu kedai maut setelah tertimbus dalam runtuhan sedalam 0.3 meter.

Masing-masing berusia 17 dan berasal dari Kampung Leret, Bandar Baharu.

Kata Barudin, mayat pertama iaitu Muhammad Haikal Hakimi berjaya ditemukan dan dikeluarkan pasukan penyelamat pada pukul 12.15 tengah malam sementara Mohamad Haziq dikeluarkan lima minit kemudian.

“Jenazah dua remaja terbabit dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Online di lokasi kejadian mendapati kerja-kerja membersihkan dan membaiki jalan tersebut yang ditutup sementara giat dijalankan.