Jurucakap polis berkata, siasatan di tempat kejadian menemukan kesan mangsa dipercayai tergelincir di tebing tali air di bawah jejambat Jalan Kuala Perlis-Changloon berhampiran Kampung Belat Batu di sini.

Katanya, penemuan itu diperoleh ketika pihak polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Perlis melakukan operasi mencari seorang lagi ahli keluarga ketiga-tiga mangsa terbabit yang juga dikhuatiri lemas.

"Polis percaya kawasan tersebut (mangsa tergelincir) adalah lokasi bermulanya kejadian ini sebelum kesemua mereka ini telah dihanyutkan arus deras tali air," katanya di sini hari ini.

Selain itu kata jurucakap tersebut, hasil pemeriksaan oleh pasukan forensik dari Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis telah menemukan barang-barang peribadi milik mangsa-mangsa di kawasan tersebut.

“Pihak bomba telah menghentikan operasi mencari mangsa kira-kira pukul 7 petang dan akan disambung pada esok," katanya.

Sebelum itu, tiga mayat sekeluarga dipercayai mati lemas ditemukan di beberapa lokasi berbeza di Sungai Arau, Tambun Tulang dan Simpang Empat.

Mayat pertama, Norzalina Baharom, 35, ditemukan oleh penduduk kampung dalam keadaan terapung di Sungai Arau, Kampung Belat Batu di sini, kira-kira pukul 9 pagi.

Tidak lama selepas itu, mayat kedua iaitu Norma Pin, 64, ditemukan oleh orang awam di Sungai Tambun Tulang di sini iaitu kira-kira dua kilometer dari lokasi penemuan mangsa pertama.

Tiga jam kemudian iaitu kira-kira pukul 12 tengah hari, mayat suami kepada Norma, Baharom Ahmad, 66, pula ditemukan di pintu tali air B, Sungai Tambun Tulang berhampiran Kampung Che Ok, Simpang Empat.

Tambah jurucakap itu, seorang saksi yang juga saudara mangsa memaklumkan telah ternampak kesemua mereka sedang berjalan kaki di Kampung Bakong kira-kira pukul 6 petang, Selasa lalu.

“Saksi itu tidak menegur dan beranggapan mereka (mangsa) baru pulang dari rumah keluarganya. Namun pada hari ini, apabila mengetahui penemuan mayat mangsa, barulah saksi itu mengetahui bahawa kesemua mereka tidak datang ke rumah keluarganya,” katanya. - UTUSAN ONLINE