Marang mencatatkan jumlah tertinggi dengan 463 mang­sa daripada 134 keluarga yang masih ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Payong, Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Gasing, SK Marang dan SK Pasir Putih.

Di Kuala Nerus, jumlah mang­sa bertambah kepada 283 orang daripada 67 keluarga yang dipindahkan ke empat PPS di SK Bukit Nenas, SK Bukit Guntong, SK Tok Jiring dan SK Kompleks Gong Badak.

Sementara itu, dua PPS dibuka di daerah ini membabitkan SK Chendering dan SK Atas Tol de­ngan seramai 77 mangsa di sam­ping Setiu yang mencatatkan 65 orang dan Dungun (45 orang).

Paras air di Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan dan Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu melebihi paras amaran setakat pukul 6 petang ini.

Sementara itu di KELANTAN, jumlah mangsa banjir di negeri ini terus menurun kepada 11,841 orang dari 4,553 keluarga meskipun hujan masih berterusan sepanjang hari ini.

Kesemua mangsa ditempatkan di 53 buah PPS di enam jajahan negeri ini dengan Pasir Mas khususnya Rantau Panjang masih mencatat jumlah tertinggi iaitu 7,157 orang daripada 2,964 ke­luarga.

Jumlah mangsa banjir di Gua Musang yang mula dinaiki air semalam pula menunjukkan penurunan ketara hari ini dengan hanya 77 mangsa dari 18 keluarga di dua PPS.

Selain itu, jumlah mangsa di Tumpat menunjukkan sedikit peningkatan berbanding sema­lam iaitu 3,604 orang membabitkan 1,280 keluarga yang ditempatkan di lapan PPS.

Di jajahan lain jumlah mangsa banjir semakin berkurangan de­ngan Kota Bharu mencatatkan 133 mangsa; Pasir Puteh (814 mang­sa) dan hanya 56 mangsa berada di PPS Tanah Merah.

Dalam pada itu, paras air di beberapa lokasi di Sungai Kelantan khususnya Sungai Galas, Sungai Lebir dan Tangga Krai masih berada pada tahap berjaga-jaga.

Paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang pula masih melebihi tahap bahaya iaitu 10.36 meter setakat pukul lima petang ini.