Jumlah 3,231 mangsa yang kini ditempatkan di 20 pusat pemindahan itu bertambah berbanding 2,382 orang semalam.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam satu kenyataan memberitahu, setakat pukul 4 petang, terdapat 3,231 mangsa daripada 908 ke­luarga ditempatkan di pusat pemindahan yang dibuka di bahagian Samarahan, Mukah, Serian dan Bintulu.

“Pada masa sama, Jabatan Pendidikan Sarawak melaporkan, terdapat 23 sekolah termasuk sebuah sekolah menengah terpaksa ditutup akibat banjir dan enam sekolah lagi dijadikan pusat pemindahan,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, penutupan sekolah terbabit memaksa 3,865 murid dan pelajar bercuti hari ini.

Antara sekolah yang ditutup adalah enam sekolah di Mukah, Dalat (lima) Padawan (dua), Serian (empat), Kota Samarahan (tiga), Selangau (satu), Bintulu (satu) dan Sibu (satu).

Sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Klid/Plajau yang mempunyai 59 murid, SK St John Medong (259), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chin Hua (175), Sekolah Menengah Kebangsaan Dalat (870) dan SK St. Bernard (152).

Turut ditutup, SK Nanga Sela­ngau (337), SK Kuala Kenyana (35), SK Kampung Jebungan (153), SK Kampung Sau (62), SK Kampung Teh (125), SJKC Ek Hua (82) dan SK Penakup Ulu (80).

Sekolah lain yang ditutup ialah SK St. Dunstan Padawan (61), SK St. Swithun (88), SK Pengkalan Sarah Serian (68), SK Sumpas (24), SK St. Teresa Serian (319), SK Tanah Puteh (86), SK Sungai Siong Tengah Sibu (87), SK Chung Hua Semera (57), SK Kampung Melayu (245), SK St. John Samarahan (142) dan SK Ulu Segan Bintulu (299).

Enam sekolah dijadikan pusat pemindahan ialah SK Jaji Bujang Rangawan, SK Mang, SK Haji Kelali Semera, SK Samarahan Estate, SK St. Paris, Balingian dan SK Tanah Putih.

Dalam pada itu, kata kenyataan itu, stesen telemetri Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) mencatatkan bacaan air paras bahaya di Limbang dan Bintulu, manakala paras amaran di Samarahan, Serian, Sibu, Miri dan Limbang setakat pukul 3 petang.

Dalam pada itu, pasukan penyelamat terutama bomba pula sibuk melakukan aktiviti pemindahan di kawasan terjejas banjir membabitkan murid sekolah dan penduduk rumah panjang sejak awal pagi.